Thursday, February 7, 2013

Istana Leban Tunggal sebagai Perpustakaan Awam

Perpustakaan Awam Daerah Pekan telah memulakankan perkhidmatannya di bangunan Istana Leban Tunggal. Dinamakan sedemikian kerana terdapat sebatang pokok leban yang besar dikawasan istana ini. Tiada pokok yang lain berada berdekatan pokok leban ini. Pokok ini disebut sebagai pokok leban yang tunggal.

Istana Leban Tunggal dibina pada bulan Mei 1935 dan siap sepenuhnya dalam tahun 1938. Istana ini asalnya dimiliki oleh YAM Tengku Besar Pahang (Tengku Besar Pahang II) (Kerabat Bergelar) Tengku Sulaiman ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah.

Pelan unik istana ini telah direka oleh Raja A. Nizam dengan harga RM500.00. Kerja-kerja pembinaan ditawarkan kepada kontraktor Cina dari Bentong dan kerja-kerja keemasan kayu diserahkan kepada tukang kayu Melayu yang mahir.

Kos yang pembinaan istana ini berjumlah lebih kurang $16,000.00. Bersumberkan rujukan di Arkib Negara, Almarhum Tengku Besar Sulaiman telah meminjam wang dari Kerajaan Negeri Pahang sebanyak $13,000.00. Seramai empat belas orang pekerja terlibat dalam pembinaan istana ini.

Setelah Almarhum Tengku Besar Sulaiman mangkat pada tahun 1962. Tengku Abdul Jalil adalah Tengku Besar yang baru yang berhak mendiami istana tersebut. Tengku Abdul Jalil telah memiliki kediaman sendiri yang berdekatan dengan istana tersebut dan menyerahkan kepada pewaris-pewaris yang lain untuk didiami.

Terletak di Jalan Tengku Besar Sulaiman di dalam kawasan Kampung Parit Tengah, Pekan. Berdekatan dengan SMK Ahmad dan SRK Ahmad. Lokasi ini menjadikan bangunan istani ini sesuai dijadikan pusat rujukan dan gedung ilmu bagi para pencinta ilmu di Daerah Pekan.

Akhirnya Kerajaan Negeri Pahang telah membeli istana tersebut dengan harga rm 100,000 dan diwartakan sebagai monumen bersejarah. Dengan kos pengubahsuaian sebanyak RM 500,000.00 dari Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia maka Lembaga Muzium Negeri Pahang telah menyiapkan bangunan ini untuk dijadikan perpustakaan.

LINK:
1. almuazzamshah.blogspot.com (istana-leban-tunggal)
2. alyahya.blogspot.com
3. pekan98.tripod.com
4. vintagemalaya.com
5. jujuebloem.blogspot.com (measured-drawingistana-leban-tunggal)
6. pahanglibrary.gov.my (sejarah perpustakaan awam daerah pekan)

No comments: