Thursday, November 21, 2013

Budaya Membaca di Korea Merosot

Rakyat Korea tidak suka membaca buku-buku. Rakyat Korea tidak suka membaca surat khabar. Kerana Rakyat Korea suka tengok filem.

Inilah cakap-cakap mereka yang terlibat dalam industri buku kerana industri buku di Korea sedang menghampiri saat-saat nazak dan dijangkakan akan berkubur. Ini kerana minat membaca semakin pudar ditambah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Menurut Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea, kira-kira 94 peratus daripada 42157 penerbit di negara Korea telah gagal menerbitkan buku baru pada tahun 2012. Keadaan ini terjadi apabila pembelian buku jatuh ke tahap paling rendah dalam dekad ini.

Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea belum dapat mengeluarkan statistik untuk tahun 2013. Tetapi ianya dijangkakan ada sedikit peningkatan.

Dalam keadaan kebanyakan syarikat berkaitan buku menghadapi kerugian tetapi perkara sebaliknya berlaku kepada Kedai Buku Terpakai Aladin


Sumber gambar: http://visitkoreatown.org/olympic-aladdin-korean-book-store/

Aladin yang mula beroperasi pada tahun 2011, telah memiliki 16 buah kedai buku terpakai termasuk di Amerika Syarikat.

Kejayaan Aladin ini telah mendapat kritikan hebar dari orang-orang industri buku. Aladin telah menyebabkan persaingan harga yang tidak sihat untuk industri buku.

Ada penerbit telah meletakkan sebahagian besar  stok simpanan buku baru mereka di Aladin. Aladin telah menjual buku-buku tersebut dengan harga 50% lebih rendah dari harga pasaran.

Tetapi Pengurus Pemasaran Aladin Kim Seong Dong meredakan kebimbangan mereka dengan mengatakan bahawa buku baru yang berusia enam bulan hanya mewakili 2 % sahaja dari jumlah stok mereka.

Apabila difikirkan kejayaan Aladin dalam penjualan buku-buku terpakai ini menunjukkan minat membaca masih teguh di Korea. Masyarakat tidak terus tertarik kepada buku-buku baru. Adakalanya buku-buku yang telah lama terbit mempunyai maklumat dan nilai yang lebih diperlukan oleh pembaca.

Dari sudut ini kita tidak boleh menilai tahap minat membaca berdasarkan pembelian buku-buku baru. Statistik keahlian dan pinjaman buku di perpustakaan awam dan perpustakaan desa perlu juga diambil kira bagi menentukan tahap minat membaca.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa statistik sahaja tidak membawa banyak makna kepada penilian terhadap tahap minat membaca. Kerana ia hanya memberikan nombor sahaja tetapi tidak menunjukkan aliran minat tersebut dalam buku apa yang dibaca.

No comments: