Kami TIDAK bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan atau kerugian yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini. Pendapat atau bahan yang dikemukakan di dalam blog ini adalah pandangan peribadi semata-mata dan untuk kegunaan peribadi sahaja.

Monday, August 25, 2014

SAHABAT PERPUSTAKAAN: Bina Semula Erti Sukarela Di Perpustakaan Awam

 Sukarela menurut Kamus Dewan bermaksud: dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa-paksa, tidak dikerah dan dengan rela hati. Manakala perkataan kesukarelaan pula membawa makna sikap sukarela. Selanjutnya, mereka yang melakukan sesuatu dengan sukarela dipanggil sukarelawan bagi lelaki dan sukarelawati bagi perempuan.
 
Dalam bahasa Inggeris, perkataan “voluntarism” menurut The Reader’s Digest-Oxford Wordfinder, bererti “the principle of relying on voluntary action rather than compulsion; the doctrine that the will is a fundamental or dominant factor in the individual or the universe; the doctrine that the Church or schools should be independent of the state and supported by voluntary contributions”.

Manakala “voluntary” pula bermaksud “done, acting or able to act of one’s free will; unpaid work; built, brought about, produced, maintained, etc., by voluntary action or contribution”. Perkataan “volunteer” pula merujuk “a person who voluntarily undertakes a task or enters a military or other service, undertakes or offer one’s services, be a volunteer”.

Dalam masyarakat Melayu  tradisi pula telah wujud konsep yang disebut “gotong royong”. Gotong royong dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat penyayang dan prihatin. Mereka saling membantu dalam kerja-kerja membuat kenduri-kendara, turun ke sawah untuk menyemai dan menuai, menguruskan sakit kematian, memindahkan rumah dan sebagainya. 

Konsep gotong-royong dan bantu membantu ini diperkukuhkan oleh budaya masyarakat seperti yang dicerminkan oleh peribahasa “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing” dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”.

Konsep gotong-royong tradisi turut menonjolkan peranan setiap anggota dalam masyarakat yang pelbagai had keupayaan Yang pekak pembakar meriam, Yang buta menghembus lesung, Yang lumpuh pengalau ayam, Yang pendek tinjau-meninjau dan Yang kurap memikul buluh.

Kerja sukarela turut diberikan pelbagai gelaran. Antaranya ialah: “kerja sukarela”, “kerja amal”, “bakti atau khidmat masyarakat” dan “bakti atau khidmat sosial”. Selaras juga dengan ungkapan  “masyarakat penyayang”, “masyarakat prihatin”, “rakan masyarakat”, “kepedulian sosial”, “tanggungjawab sosial” , “muafakat sosial” dan “masyarakat madani”.

Kini tibalah masanya Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang turut memperkukuhkan nilai-nilai murni ini melalui peranan SAHABAT PERPUSTAKAAN AWAM (SPA)

SAHABAT PERPUSTAKAAN mahu dibina berdasarkan  nilai dan amalan yang murni yang telah sekian lama terpahat dalam jiwa masyarakat kita. Kerana itulah setiap yang terlibat dalam tugas ini sama ada diperingkat negeri, daerah, cawangan atau desa tanpa mengira sumbangann mereka besar ataupun kecil, SAHABAT PERPUSTAKAAN dianggap sebagai pengelibatan dan usaha yang terpuji.

SAHABAT PERPUSTAKAAN  adalah satu daripada nilai yang disanjung tinggi yang membolehkan masyarakat terus hidup secara harmoni dan berkongsi erti tolong-menolong.

SAHABAT PERPUSTAKAAN  yang akan terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat adalah insan-insan berbudi yang mahu menaburkan dan meninggalkan kesan mendalam kepada pembinaan budaya membaca. Mereka adalah pengongsi manfaat dan nikmat, perintis perkhidmatan, penggerak kesedaran, penyambung suara rakyat dan sebagainya.

Bangsa Malaysia kaya dengan tradisi kesukarelaan. SAHABAT PERPUSTAKAAN  mahu tradisi ini terus berkembang. Apabila orang berkata “Benarkah kesukarelaan semakin luput?” SAHABAT PERPUSTAKAAN  mahu menegaskan bahawa semangat kesukarelaan belum pupus. Di perpustakaan negeri, perpustakaan, daerah, perpustakaan cawangan dan perpustakaan desa akan muncul sukarelawan dan sukarelawati yang sanggup tampil untuk berkongsi khidmat dan keringat setiap kali mereka diperlukan.

SAHABAT PERPUSTAKAAN  akan membina ikatan perpaduan, mengingatkan tahap pengelibatan, mendorong tradisi berkongsi dan mengembangkan amalan bantu-membantu yang mungkin kian luntur. Masyarakat yang kian terjurus kepada kebendaan dan kepentingan peribadi. Keadaan ini tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Ia perlu dihadapi, ditangani dan diperbaiki. Kerana itu, SAHABAT PERPUSTAKAAN akan memberikan nafas baru pada landasan lama yang perlu dibina semula.

Melalui penubuhan SAHABAT PERPUSTAKAAN  ini, perpustakaan awam mahu menjana perubahan yang lebih bermakna. SAHABAT PERPUSTAKAAN  akan memberi fokus kepada setiap individu yang mempunyai kebolehan dan kemahiran untuk membantu mengubah kehidupan masyarakat melalui penajaman budaya membaca SAHABAT PERPUSTAKAAN  tidak memerlukan kemahiran dan khusus untuk memberikan sumbangan. Tidak perlu mempunyai harta yang banyak. SAHABAT PERPUSTAKAAN  memerlukan niat yang ikhlas dan komitmen yang kuat untuk membatu masyarakat berubah.

SAHABAT PERPUSTAKAAN mahu membina semula keadaan yang boleh mendatangkan kesan-kesan positif kepada masyarakat.

Contohnya dalam bidang pendidikan seperti Program Buat Kerja Sekolah Di Perpustakaan. Melalui program ini SAHABAT PERPUSTAKAAN boleh mengadakan kelas-kelas bimbingan, mengajar secara percuma dan membekalkan kelengkapan atau peralatan untuk menyiapkan kerja sekolah di perpustakaan. Dalam pembangunan sumber manusia pula SAHABAT PERPUSTAKAAN boleh menganjurkan latihan-latihan dan kursus-kursus kemahiran. Dibidang budaya pula, SAHABAT PERPUSTAKAAN boleh membuat persembahan kesenian secara percuma

SAHABAT PERPUSTAKAAN  juga mahu membina semula keadaan yang menghalang dan mengurangkan kesan-kesan negatif kepada masyarakat.

SAHABAT PERPUSTAKAAN boleh mengadakan kempen mengurangkan gejala sosoal dikalangan belia dengan menyediakan program-program pencegahan untuk golongan belia mengenali unsur-unsur gejala sosial yang perlu dijauhi.

SAHABAT PERPUSTAKAAN  boleh membina semula keperluan kaunseling kepada mereka yang berhadapan dengan pelbagai masalah. Banyak buku-buku kaunseling yang boleh dirujuk tetapi individu yang boleh dirujuk tidak disediakan.

SAHABAT PERPUSTAKAAN  boleh juga menjadi alat bagi menyediakan pemimpin pelapis. Program sebegini boleh dijalankan dengan kerjasama persatuan-persatuan belia. SAHABAT PERPUSTAKAAN  boleh mengadakan latihan-latihan dan kursus kepemimpinan.

SAHABAT PERPUSTAKAAN boleh bekerjasama dengan Ahli Jawatankuasa Penasihat Perpustakaan bagi membina semula nilai-nila murni.

Marilah sama-sama kita menyumbangkan apa yang termampu kepada masyarakat melalui SAHABAT PERPUSTAKAAN.


rujukan
Saifuddin Abdullah GERAKAN KESUKARELAAN Menjana Perubahan Bermakna

No comments: