Thursday, December 25, 2014

Malaysia Year of Festivals (MyFest 2015) di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang, Malaysia

JELAJAH MYFEST 2015,
PAHANG TONJOLKAN KEMBARA ALAM SEMULAJADI

Siri Jelajah Malaysia Year of Festivals (MyFest 2015) akhinya berakhir di Kuantan, Pahang pada 23/12/2014. Satu sesi taklimat MyFest 2015 diadakan di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang pada hari tersebut. Sesi taklimat ini adalah yang terakhir bagi 14 siri jelajah MyFest 2015 yang diadakan di seluruh negara, bermula bulan Oktober 2014.
 
 YB Dato' Hj Mohd Sharkar bin Hj Shamsudin Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang

Malaysia Year of Festivals (MyFest 2015) ini dihadiri oleh penggiat-penggiat industri pelancongan dan kebudayaan dari sekitar negeri Pahang.

Taklimat MyFest 2015 telah diberikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia iaitu YBrs. Dr. Junaida Lee Abdullah dan Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, YBhg. Datuk Musa Hj. Yusof. Turut hadir Exco Pelancongan & Kebudayaan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohd Sharkar bin Haji Shamsudin.
                      
Sesi taklimat MyFest 2015 ini adalah usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk meningkatkan sebaran maklumat tentang acara pelancongan terbesar negara itu untuk tahun hadapan.

Taklimat MyFest 2015 menjadi platform untuk menyebarkan visi, sasaran dan garis panduan penjenamaan Malaysia Year of Festivals 2015 kepada penggiat-penggiat industri dan pihak berkepentingan untuk pelaksanaan yang berkesan; di samping memberi peluang untuk bertemu dan berkongsi idea serta mendapatkan maklum balas.
 
YB Dato' Hj Mohd Sharkar bin Hj Shamsudin Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang bersama YBrs. Dr. Junaida Lee Abdullah, TKSU (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menyempurnakan gimik pelancaran Majlis Taklimat MyFest2015 peringkat negeri Pahang.

Pelaksanaan acara MyFest 2015 telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia di dalam ucapan Bajet 2015. Kempen ini akan terus meningkatkan industri pelancongan dan mengekalkan Malaysia sebagai destinasi utama pelancong bagi mencapai sasaran penerimaan ketibaan pelancong seramai 29.4 juta dan memperoleh pendapatan pelancongan sebanyak RM89 bilion.

Kempen MyFest 2015 akan melengkapkan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia (MTTP:2020:36:168) dengan sasaran negara untuk menerima seramai 36 juta ketibaan pelancong dan sebanyak RM168 bilion pendapatan pelancongan pada tahun 2020.

Bertemakan “Endless Celebrations”, untuk sepanjang tahun dengan kalendar yang akan dipenuhi lebih 200 acara dan perayaan setiap etnik di setiap negeri termasuklah festival budaya, acara antarabangsa, acara eko-pelancongan, kesenian, persembahan muzik, promosi makanan dan pelbagai acara bertema.

Antara acara mega yang akan diadakan di Pahang sepanjang MyFest 2015 ialah :

1. Tioman International Classic Surfing (Januari 2015)
2. Kuantan Century Ride (Jun 2015)
3. Fraser’s Hill International Bird Race (Jun 2015)
4. Acara selam skuba Start in Tioman (Ogos 2015)
5. Royal Pahang Billfish International Challenge (September 2015)
6. Taman Negara International Bird Race Challenge (Oktober 2015)
7. Teluk Chempedak Downhill Challenge (November 2015)
8. Cherating International Surfing Competition (Disember 2015)

Majlis Pelancaran Perdana MyFest 2015 akan diadakan pada 10 Januari 2015 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Acara yang gilang gemilang ini akan disertai oleh 1,000 orang peserta dari pelbagai lapisan penggiat seni budaya negara.
 
Malaysia Year of Festivals 2015 adalah misi nasional maka diharapkan agar agensi kerajaan, sektor swasta, agensi bukan kerajaan dan penggiat industri turut bersama dalam menjayakan kempen Malaysia Year of Festivals 2015 ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi:
Unit Komunikasi Korporat:
Email: info@motac.gov.my.
Tel: 03.8000.8000

No comments: