Sunday, March 22, 2015

Kepentingan seni visual dalam masyarakat dan kehidupan (MOHAMED NOOR OTHMAN)

Tajuk: Kepentingan seni visual dalam masyarakat dan kehidupan
Oleh: MOHAMED NOOR OTHMAN

    Tidak banyak buku seni visual dalam bahasa Melayu diterbitkan berbanding kebanyakannya dalam bahasa Inggeris menjadi rujukan utama. Namun penghasilan buku seni visual dalam lain-lain bahasa terutamanya dalam bahasa Cina begitu mengalakkan. Ini terbukti dalam pasaran dan pameran-pameran buku.

    Usaha menghasilkan buku Isu dan Pemikiran dalam Seni Visual adalah sumbangan awal oleh pengarang yang diimbas kembali secara horizontal, menyentuh sifat prolifik tokoh-tokoh pembuat seni tempatan dalam berkarya dan secara vertikal pula menyentuh sejauh mana karya yang bernilai tinggi diangkat menjadikan wawasan untuk kesinambungan bangsa.

    Isu dan Pemikiran dalam Seni Visual ini mengenengahkan hasil karya sepanjang zaman pembuat seni tempatan. Antaranya Choong Kam Kow, Khalil Ibrahim, Awang Damit, Yusof Ghani, Bayu Otomo, Susylawati Sulaiman, Wu Peng Yi, Raja Shahriman, Kok Yew Puah, Yeoh Jin Leng, Datuk Syed Ahmad Jamal, Lui Cheng Tak, Dato’ Sharifah Fatimah Syed Zubir, Piyadasa dan ramai lagi sekadar menyebut beberapa nama.

Kebanyakan tokoh-tokoh seni visual ini telah menduduki hirarki bertaraf seniman yang mencapai martabat sifu dan hasil adikarya mereka dirujuk sebagai hasil seni bertaraf tinggi dalam khazanah tamadun bangsa. Malah mencapai taraf antarabangsa. Maka karya-karya zaman Renaisan, era klasik, moden dan kontemporari dari Barat dijadikan perbandingan sudut budaya dan jati diri bangsa yang berkait dalam kehidupan.

    Semoga seni visual tidak diabaikan dalam membina generasi kreatif maka pengarang mengaitkan kepentingan seni visual dalam masyarakat dan kehidupan. Jika seni itu ada kaitannya dengan kehidupan, maka siapakah kita sebagai khalayak (pemerhati, peminat, pengkritik) dan siapakah seniman sebagai pengkarya yang masing-masing berperanan dalam menghidupkan kepentingan seni itu dalam kehidupan.

    Akhir kata dari pengarang, semoga dengan membaca bahasa visual dalam buku ini dapat mencetuskan keinsafan. Sesungguhnya keindahan dalam seni visual mendekatkan kita dengan kebesaran Allah. Penciptaan-Nya untuk keindahan dunia buat manusia insaf dan bersyukur. Sesuai dengan firman-Nya.

    “Maha Berkat (serta Maha tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” – Surah Al-Mulk, ayat 1.

No comments: