A. PENDAHULUAN
B. PASARAN
B1. APAKAH PRODUK PERPUSTAKAAN?
B2. SIAPAKAH PELANGGAN PERPUSTAKAAN?
B3. DIMANA LOKASI PERPUSTAKAAN?
B4. APAKAH ANALISA PASARAN?
C. PEMASARAN
C1. APAKAH STRATEGI PEMASARAN PERPUSTAKAAN?
C2. APAKAH PELAN PEMASARAN?
C3. APAKAH ANALISA PEMASARAN?
D. PENYEDIAAN IDEA PEMASARAN PERPUSTAKAAN MASING-MASING.
E. PEMBENTANGAN IDEA PEMASARAN PERPUSTAKAAN MASING-MASING.
-----------
A. PENDAHULUAN
-----------
Adakah perkhidmatan perpustakaan memerlukan analisa Pasaran dan Pemasaran (Market and Marketing)?
Perpustakaan Awam Pahang adalah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menyediakan KEMUDAHAN membaca dan perlu sediakan PRODUK atau PROGRAM galakan membaca bagi meningkatkan JUMLAH PENGGUNA kemudahan yang disediakan.
Untuk menjalankan amanah ini kita perlu mempunyai perancangan yang boleh dinamakan sebagai Pelan Pemasaran Perpustakaan. Pelan ini perlu difahami dan diyakini oleh pasukan yang terlibat.
Menyediakan pelan ini mungkin diluar kotak pemikiran orang tertentu. Memahami konsep Pasaran dan Pemasaran sudah terlalu rumit untuk diproses oleh pemikiran orang-orang tertentu. Ada yang merasakan ianya tiada kaitan dengan kerja Orang Perpustakaan. Tetapi jangan bimbang, inilah kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Kekurangan, kemahiran dan kemampuan kita perlu dikongsi. Kerana dalam perkongsian ini ada banyak ilmu yang boleh dipelajari.
Bagi menyediakan Pelan Pemasaran Perpustakaan kita boleh renungkan LIMA persoalan ini:
1. Siapakan PELANGGAN perpustakaan?
2. Apakah SALURAN untuk berhubung dengan mereka?
3. Berapakah STRATEGI perlu digunakan untuk jadikan mereka pelanggan setia?
4. Kenapakah belum ada IMPAK BESAR kepada masyarakat setempat?
5. Bilakah perpustakaan paling kurang pengunjung?
Bukan semua orang suka "terlalu" berfikir. Bukan semua orang mampu berfikir diluar kotak. Tetapi untuk menyediakan Pelan Pemasaran kita perlu berkongsi kemampuan berfikir. Jika pelan ini dapat disediakan dengen teliti maka ia boleh jadi panduan yang menyeronokkan dalam laluan kerjaya masing-masing. Seronok jika kita seronok dapat tingkatkan jumlah pelanggan dan meningkatkan keberkesanan peranan perpustakaan awam di Pahang.
---------------------------------------
B. PASARAN
--------------------------
B1. APAKAH PRODUK PERPUSTAKAAN
--------------------------
Kita mulakan cerita dengan pasaran. Ini juga persoalan yang perlu difikirkan satu jawapan yang lebih kreatif. Apakah sebenarnya yang ditawarkan oleh Perpustakaan Daerah, Cawangan dan Desa kita?
Jawapan mudah adalah menyediakan kemudahan perpustakaan. Untuk masyarakat dapatkan bahan bacaan serta tempat yang selesa.
Tetapi bukan kemestiaan bagi semua orang untuk selalu datang ke perpustakaan.
Mungkinkah?
Ada yang tidak pernah dengar cerita kemudahan perpustakaan.
Ada yang tidak pernah nampak adanya kemudahan perpustakaan.
Ada yang tidak pernah menikmati kemudahan perpustakaan.
Maka perpustakaan perlu bersedia dengan produk atau perkhidmatan atau program atau aktiviti untuk (1) mendedahkan mereka dengan kemudahan di perpustakaan (2) memujuk mereka datang ke perpustakaan dan (3) meminta mereka memberikan keutamaan kepada hal-hal berkaitan perpustakaan.
Kehadiran pelanggan ke perpustakaan amat penting. Mereka akan datang sebagai (1) Ahli Perpustakaan (2) Peminjam Buku (3) Pengunjung Perpustakaan. Jumlah kehadiran mereka adalah ukuran pencapaian sebuah perpustakaan.
Semakin ramai yang datang bermakna semakin berkesan peranan perpustakaan yang juga boleh ditafsirkan sebagai kejayaan kita menjalankan tanggungjawab sebenar perpustakaan.
Beberapa tahun sebelum ini fungsi perpustakaan telah berkembang kepada Pusat Internet. Jumlah pengunjung turut meningkat sekurang-kurangnya sekali ganda.
Tiba-tiba kemudahan internet TIDAK dianggap sebagai kemudahan yang perlu ditempatkan di perpustakaan. Maka kemudahan internet perlu asingkan kemudahan ini dari perpustakaan. Maka wujudlah Pusat Internet yang berasingan dengan perpustakaan. Jumlah pengunjung perpustakaan juga berkurangan dengan banyak.
Selama ini kita anggap pengguna Pusat Internet ini sebagai pengunjung setia perpustakaan. Kita lupa bahawa kita tidak boleh harapkan mereka sebagai pelanggan setia. Juga tidak boleh harapkan pelanggan yang hanya berminat dengan kemudahan internet sahaja. Kebanyakan pelanggan kategori ini datang hanya untuk bermain sahaja bukan untuk benar-benar belajar.
Pengalaman yang kita dapat adalah kita tidak boleh bergantung kepada 'produk' yang disediakan oleh pihak lain. Kita mesti sediakan PRODUK kita sendiri.
Untuk jangka masa panjang kita perlu sediakan PRODUK, program atau aktiviti yang dapat meningkatkan (1) Ahli (2) Pinjaman (3) Pengunjung. Program yang disediakan boleh ditetapkan dalam tiga kategori:
1. Program Utama
2. Program Sokongan
3. Program Tambahan
Melalui program tersebut, peserta perlu didedahkan dengan kemudahan yang ada di perpustakaan. Seterusnya berjaya mensasarkan suatu jumlah Ahli Baru. Tidak dinafikan bahawa cabaran lebih penting adalah untuk jadikan mereka Peminjam Setia. Dengan strategi yang kreatif Peminjam Setia ini boleh membawa lebih ramai kenalan mereka untuk menjadi Pengunjung Tetap.
B. PASARAN
--------------------------------
B2. SIAPAKAH PELANGGAN PERPUSTAKAAN?
--------------------------------
Masih lagi dalam topik pasaran. Selain penyediaan program atau aktiviti, element yang turut penting dalam Penentuan Pasaran adalah mengenali kelompok sasaran pelanggan perpustakaan.
Program yang terbaik dengan kos yang tinggi tidak memberi Impak Besar jika tidak disasarkan kepada pelanggan yang betul.
Kita boleh menghimpunkan pelanggan dalam tiga kelompok:
1. Pelanggan Baru
2. Pelanggan Sedia Ada
3. Pelanggan Setia
Kita tidak boleh terus fokus pada tiga kelompok pelanggan tersebut tanpa menetapkan sasaran peratus untuk setiap kelompok. Kerana kita perlu beri nilai keutamaan kepada kelompok ini. Untuk menetapkan sasaran peratus kita perlu putuskan apakah Strategi Pemasaran kita. Jika strateginya adalah:
Bimbing yang BARU. Jaga yang SEDIA ADA. Gembirakan yang SETIA.
Maka sasaran peratusnya akan jadi
- 20% Pelanggan Baru
- 30% Pelanggan Sedia Ada
- 50% Pelanggan Setia
Dan jangan takut untuk terbalikkan sasaran tersebut menjadi 50% Pelanggan Baru, 30% Pelanggan Sedia Ada dan 20% Pelanggan Setia.
B. PASARAN
--------------------------------
B3. DIMANA LOKASI PERPUSTAKAAN?
--------------------------------
Masih lagi dalam topik pasaran. Lokasi bermaksud DIMANA pengguna boleh dapatkan produk kita dan BAGAIMANA mereka dapatkan produk kita.
Ada program menarik yang akan dijalankan.
Ada kumpulan sasaran yang amat berminat dengan program tersebut.
Seterusnya peserta perlu tahu dimana lokasi program tersebut. Jika mereka tidak jumpa lokasi mereka tidak dapat datang.
Sebelum promosikan program, kita mungkin telah promosikan lokasi perpustakaan. Kita boleh maklumkan kepada masyarakat tentang tentang lokasi perpustakaan melalui Promosi Berjadual yang boleh dilakukan melalui (1)Lawatan temujanji (2)Surat rasmi (3)Ceramah (4)Gerai pameran (5)Whatapps (6)Facebook. (7)Aktiviti Suaikenal
Setelah mereka tahu dimana lokasi perpustakaan, mereka perlu tentukan bagaimana nak pergi ke perpustakaan tersebut. Mereka akan datang melalui:
1. Jalan kaki atau basikal
2. Naik motosikal atau kereta
3. Naik van atau bas
B. PASARAN
--------------------------------
B3. APAKAH ANALISA PASARAN?
--------------------------------
Masih lagi dalam topik pasaran.. Setelah memahami (1)apakah produk? (2)siapakah pelanggan? (3)dimana lokasi? barulah kita boleh menilai pasaran yang ada dalam JANGKAUAN kita. Untuk menentukan tahap jangkauan tersebut kita perlu menjawab dengan kreatif persoalan berikut:
1. Apakah kekuatan?
2. Apakah kelemahan?
3. Apakah peluang?
4. Apakah halangan?
---------------------------------------
C. PEMASARAN
-------------------------------------------
C1. APAKAH STRATEGI PEMASARAN PERPUSTAKAAN?
-------------------------------------------
Sekarang kita mula dengan topik pemasaran. Strategi akan makin jelas setelah selesai memahami Siapakah Pelanggan.
CONTOH difinasi pelanggan adalah:
Pelanggan baru
- mereka yang pertama kali menjadi ahli, peminjam atau pengunjung.
Pelanggan sedia ada
- mereka yang telah menjadi ahli pada tahun lepas dan keahlian mereka akan tamat tahun ini.
Pelanggan setia
- mereka yang telah meminjam sebanyak 50 buah buku pada tahun lepas.
Semasa di peringkat penentuan strategi ini, terdapat dua perkara yang boleh dibincangkan iaitu:
1. Apakah SALURAN untuk berhubung
2. Berapakah SASARAN untuk dicapai
Bagi menentukan saluran, disini perlu berfikiran kreatif.
Contoh 1: setelah dipersetujui bahawa 50% pelanggan adalah pelanggan setia, maka 'percambahan fikiran' perlu dilakukan untuk mencari SALURAN untuk berhubung dengan mereka. Seperti menggunakan FB atau Whatapps bagi sentiasa berhubung dengan Pelanggan Setia.
Contoh 2: Menggunakan Jawatankuasa Penasihat Perpustakaan bagi menyediakan 10 program yang membolehkan Pelanggan Sedia Ada menguasai 50% dari jumlah pinjaman.
Contoh 3: Menggunakan 10 orang Peserta Program Buat Kerja Sekolah Di Perpustakaan (PBKSDP) bagi mendapatkan 10% Pelanggan Baru.
Masih lagi diperingkat Strategi Pemasaran.
Bagi menetapkan hala tuju Pelan Pemasaran Perpustakaan, perlu ditetapkan jumlah sasaran yang perlu dicapai. Kalau syarikat, ianya boleh ditentukan berdasarkan jumlah jualan produk atau pendapat bersih.
Bagi perpustakaan, boleh juga diukur berdasarkan (1)Ahli 2019 200 orang (2)Pinjaman buku 2000 buah (3)Pengunjung datang ke perpustakaan 4000 orang (4) Peserta PBKSDP 400 orang (5)Ahli Mesyuarat JK Penasihat 20 orang
---------------------------------------
C. PEMASARAN
---------------------------
C2. APAKAH PELAN PEMASARAN?
---------------------------
Masih lagi dengan topik pemasaran. Penyediaan Pelan Pemasaran adalah gabungan perkara-perkara yang telah disebut sebelum ini. Rangka pelan perlu disediakan berdasarkan (1)Senarai Produk (2)Senarai Pelanggan (3)Senarai Saluran (4)Senarai Sasaran (5)Senarai Strategi.
Pelan Pemasaran Perpustakaan PAD/PAC/PD boleh disediakan mengikut tempoh:
1. Satu Tahun
2. Dua Tahun
3. Lima tahun
4. Sepuluh Tahun.
Pelan Pemasaran boleh disediakan berdasarkan lokasi seperti:
- Pelan Pemasaran PAD Tahun 2019 (Satu Tahun)
- Pelan Pemasaran PAC 2019 - 2020 (Dua Tahun)
- Pelan Pemasaran PD 2019 - 2023 (Tiga Tahun)
Ianya berdasarkan kreativiti dan imaginasi pemikir. Ianya juga menjadi satu dokument garis panduan yang boleh disemak dan disesuaikan.
-----------------------------
C3. APAKAH ANALISA PEMASARAN?
-----------------------------
Masih dalam topik pemasaran. Setelah memilih (1)apakah strategi? (2)apakah saluran? (3)berapakah sasaran? (4)bila tempoh pencapaian? barulah kita boleh menilai pemasaran yang ada dalam JANGKAUAN kita. Untuk menentukan tahap jangkauan tersebut kita perlu renungkan semula dengan kreatif perkara berikut:
1. Proses kerja
2. Produk
3. Perbelanjaan
4. Promosi
5. Penempatan
6. Pengguna
Contoh: (1) Apakah proses kerja yang melambatkan keputusan (2) Apakah produk yang perlukan tambah nilai (3) Apakah perbelanjaan yang boleh dijimatkan (4) Apakah saluran promosi (5) Apakah penempatan yang paling menarik (6) Siapakah pengguna yang tidak diberikan perhatian.
-------------------------------------------------------------
D. PENYEDIAAN IDEA PEMASARAN PERPUSTAKAAN MASING-MASING.
-------------------------------------------------------------
(1)Senarai Produk yang mahu dipasarkan (5 minit)
(2)Senarai Pelanggan yang dijadikan sasaran (5 minit)
(3)Senarai Saluran yang mahu digunakan (5 minit)
(4)Senarai Sasaran yang mahu dicapai (5 minit)
(5)Senarai Strategi yang mahu dilaksanakan (5 minit)
---------------------------------------------------------------
E. PEMBENTANGAN IDEA PEMASARAN PERPUSTAKAAN MASING-MASING.
---------------------------------------------------------------
Setiap peserta perlu bentangkan idea masing-masing dalam tempoh 3 minit.
No comments:
Post a Comment