Saturday, April 30, 2011

Buku: Tarbiah Anak dengan Zikir dan Doa


Tarbiah Anak dengan Zikir dan Doa oleh Zahazan Mohamed & Rohidzir Rais
Diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd pada tahun 2008 dan berharga RM12.00

Menghadapi karenah anak-anak sangat menguji kesabaran si bapa apatah lagi si ibu. Seorang wanita yang keletihan setelah sepanjang hari mengemas rumah, memasak, membasuh baju, mungkin akan hilang sabar terhadap anak-anaknya yang tidak mendengar cakap, menyepahkan rumah, berkelahi sesama sendiri dan pelbagai karenah. Si ibu yang gagal mengawal kemarahannya mungkin bertindak mengikut perasaan. Anak mungkin dipukul, ditampar atau dicubit sehingga lebam dan luka malah dalam kes yang lebih teruk mungkin menggigit anak atau menghentak kepalanya ke dinding. Bapa yang tidak tahan dengan sikap anaknya itu juga mungkin akan bertindak melampaui batas. Justeru, melalui buku ini, ibu bapa dapat mentarbiahkan anak-anak melalui zikir dan doa.


Buku TARBIAH ANAK-ANAK DENGAN ZIKIR & DOA ini menghimpunkan doa-doa serta keterangan petua dan cara beramal sebagai panduan kepada ibu bapa dalam membimbing anak-anak untuk mendapat keredhaan Allah dan anak yang soleh dan cemerlang di dunia & akhirat. Turut dimuatkan di dalam buku ini ialah zikir-zikir dan doa yang boleh diambil dan dijadikan amalan seharian. Diterbitkan dalam saiz yang kecil dan menarik, buku ini mengandungi 4 aspek penting dalam kehidupan iaitu aspek KETELUSAN AKHLAK & KEMURNIAN PEKERTI seperti mendapat ramai anak soleh dan cemerlang, menghilangkan perasaan marah, mententeramkan jiwa, menghadapi saat-saat getir, mohon kesabaran, meningkat keyakinan diri dan mohon dipenuhi keperluan. Aspek kedua ialah KECEMERLANGAN AKADEMIK seperti mudah menghafal pelajaran, mudah menjawab soalan peperiksaan, dikasihi guru, mohon kelulusan cemerlang dan mudah menghafal al-Quran. Aspek yang ketiga ialah KECERGASAN JASMANI & KEAFIATAN FIZIKAL seperti mohon perlindungan daripada gangguan sihir, luka, demam, bengkak, jauhi zina, stress dan jauhi daripada insomnia. Aspek keempat pula ialah ZIKIR & SELAWAT seperti Ibrahimiyyah, mohon kebahagiaan, mohon keselamatan, kelapangan, menghindari bahaya, sembuh penyakit dan mengelak mimpi ngeri.

Ulasan disediakan oleh
Puan Fazilarwati
Perpustakaan Awam Cawangan Jengka

No comments: