Friday, August 7, 2015

Buku: Khuluk oleh Khaidir Ahmad

Buku: Khuluk oleh Khaidir Ahmad
Pengarang: Khaidir Ahmad
Tebal: 897 halaman
Terbitan: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Harga: RM63
Bintang: **** (4 bintang)

KHULUK karya Khaidir Ahmad boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu sebelum dan sesudah khuluk, yang memisahkan tema dan gaya penceritaannya daripada novel mirip popular kepada naskhah sastera yang sarat dengan latar budaya dan falsafah kemanusiaan serta agama.

Khuluk adalah proses isteri menuntut perceraian dengan menggunakan kaedah tebus talak, sekali gus menyediakan pembaca kepada karya yang berlegar pada kegagalan rumah tangga dan keruntuhan perkahwinan.Bagaimanapun, tema cinta tiga segi tampak menguasai bahagian pertamanya sehingga gaya dan langgam penceritaannya mirip kepada novel popular yang sering menggunakan perencah itu.

Ini kerana Kamal, wartawan yang baru dilantik sebagai Ketua Biro Kuching akhbar Berita Nasional yang bernaung di bawah Malaysia Tribune berdepan dengan dilema apabila terpaksa memilih antara dua gadis yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Cinta pertama yang tumbuh berselindung atas nama rakan sejawatan daripada akhbar lain ialah Letticia, iaitu wartawan tempatan berdarah campuran Iban dan Cina yang dibesarkan dalam lingkungan agama Kristian di rumah panjang di Simunjan.

Bagaimanapun, hati Letticia sedikit demi sedikit terbuka kepada Islam selepas melihat keindahannya pada keperibadian Kamal tetapi berdepan dengan ‘pesaing’, iaitu Ezan, wartawan muda yang baru bertatih dalam dunia kewartawanan dan dipindahkan ke negeri itu.

Meskipun Ezan dibesar dalam lingkungan keluarga hartawan yang jauh daripada Islam dan memiliki teman lelaki, hatinya cepat terpaut kepada Kamal oleh keramahan dan sifat ambil berat terutama masing-masing berada jauh di seberang Laut China Selatan.

Gaya dan langgam penceritaan yang menyorot pasang surut hubungan Kamal-Letticia-Ezan dengan masing-masing tidak mahu menyakiti hati antara satu sama lain tetapi tidak pula mahu mengalah dalam soal cinta inilah yang boleh dianggap menggunakan perencah novel popular.

Apatah lagi dengan tumpuan terhadap pergolakan jiwa Kamal, Letticia dan Ezan, novel ini semacam terlupa tentang latar sosial dan budaya wartawan yang semakin tipis meskipun pada awalnya ia bermula dengan baik apabila dibuka dengan adegan lelaki itu membuat liputan operasi memburu buaya.

Bagaimanapun, perpisahan Kamal dengan Letticia, sekali gus membawa kepada perkahwinannya dengan Ezan, mengembalikan landasan penceritaannya pada dunia wartawan apabila pasangan itu dipindahkan ke Semenanjung semula.

Kamal yang dinaikkan pangkat kepada Penolong Pengarang Berita dan Ezan yang beralih daripada suri rumah kepada wartawan penyiaran dan personaliti televisyen sebenarnya memindahkan novel ini daripada perencah popular kepada naskhah yang lebih sarat dengan persoalan kehidupan yang lebih serius.

Pergolakan rumah tangga dua wartawan itu menyelongkar dunia terselindung daripada umum atau sekurang-kurangnya mengesahkan tanggapan masyarakat terhadap kisah hidup selebriti, selain memperlihatkan sinikal pengarang apabila mewujudkan adegan ‘wartawan yang sentiasa mencari sensasi sebagai bahan beritanya, tiba-tiba menjadi sensasi untuk bahan berita semua wartawan dan media.’

Ezan yang dibuai kehidupan dan lelaki baru serta menuntut khuluk di mahkamah syariah sehingga menjadikan perkahwinan mereka sebagai buruan media, sekali gus membuka frasa baru dalam novel ini.

Ini kerana Khuluk selepas khuluk adalah novel yang sarat dengan persoalan kemanusiaan dengan latar kebudayaan etnik dan dakwah Islam apabila Kamal membawa diri dengan mendalami agama di pondok, sebelum melarikan diri dan dua anak mereka, Norma dan Izhar ke belantara di Sarawak.

Khuluk tidak lagi tampil sebagai novel popular, sebaliknya perjuangan memberikan nafas agama dan jaminan kehidupan kepada kaum Penan nomadik jauh di pinggir Sungai Bareh, Mulu, sekali gus menyelamatkan anak mereka daripada gejala sosial yang melanda masyarakat terutama keluarga yang berantakan.

Pada bahagian ini, Khuluk juga ialah novel yang mengingatkan kita kepada bantahan kaum Penan nomandik yang membuat benteng manusia pada 1987 yang menentang pembalakan, selain karya yang menghantar pesan kepada politikus dan birokrat tentang kemajuan yang perlu mengambil kira budaya dan psikologi sesuatu kaum.

Dalam konteks agama, Khuluk juga mengangkat isu dakwah Islam yang wajar dibuat dengan cara yang lebih alamiah dan mendekati kaum Penan dengan pendakwah hidup bersama-sama mereka tanpa menggadaikan prinsip agama dan syariat Islam.

Pada masa sama, elemen cinta tidak ditinggalkan sebegitu saja, bahkan lebih dramatik dengan kehadiran pendakwah yang juga saudara baru, Siti Aisyah di tengah perkampungan yang diancam pembalakan dan Ezan yang berusaha menjejak kasih anak mereka yang tanpa sedar menumbuhkan rindu kepada bekas suaminya kembali.

Dengan dua bahagian yang memiliki ragam tersendiri, tidak hairanlah novel ini menjangkau 897 halaman, tetapi elemen cinta yang cuba memancing pada bahagian pertama dan persoalan agama, budaya serta kemanusiaan yang menduga pemikiran menjadikannya wajar dibaca apatah lagi tersenarai sebagai pemenang ketiga Hadiah Sako 3.

Profil penulis: Wartawan penyiaran, alam sekitar

KHAIDIR Ahmad kelahiran Kuala Rompin, Pahang pada 1 November 1962, berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan bermula sebagai wartawan Berita Harian sebelum dilantik sebagai Ketua Bironya di Kuching.

Pada 1991, beliau mengembara dan hidup bersama suku Penan nomadik di pedalaman Hulu Baram, sebelum menghasilkan lima siri rencana mengenai suku kaum itu yang memenangi Hadiah Kewartawanan Malaysia pada 1992.

Beliau turut menghasilkan buku Selamatkan Kaum Penan pada 1992 yang turut diterjemah ke bahasa Inggeris, Save the Penans (1994).

Khaidir berpengalaman sebagai Pengarang Berita dan Timbalan Ketua Pengarang di akhbar tempatan, sebelum menceburi bidang penyiaran sebagai Editor Penugasan Berita di TV3, manakala tugasnya sebagai Penyelaras Operasi TV3 Wilayah Timur meletakkannya sebagai wartawan alam sekitar yang dikenali ramai.
Beliau kini sebagai Ketua Pengarang Berita TV3.

sumber:
http://dpmp238.blogspot.com/2012/02/ramuan-cinta-popular-dalam-khuluk.html

No comments: