Kami TIDAK bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan atau kerugian yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini. Pendapat atau bahan yang dikemukakan di dalam blog ini adalah pandangan peribadi semata-mata dan untuk kegunaan peribadi sahaja.

Friday, August 9, 2019

Siti Karimah binti Ahmad - Pengurusan Perpustakaan (Management in Library Science) - UiTM Rembau



Manis bicara, Indah tutur kata,
Manis kalimah, Pembuka bicara,
Hati yang bersih, bercahaya,
Ukhuwah terjalin dengan bismillah…

Assalamualaikum wbt. Hai awak semua 😊,
salam perkenalan daripada saya.

Nama diberi Siti Karimah binti Ahmad.
Biasanya orang panggil saya Karimah atau Imah.
Saya berasal dari Gua Musang, Kelantan.

Nama bidadari syurga di sebelah saya ini adalah Haminah binti Mahmood, beliau adalah bonda tercinta saya yang saya panggil beliau ‘Ma’ dan jejaka hensem di sebelah kiri saya adalah Ahmad bin Abd Wahab yang merupakan tulang belakang kepada keluarga kami.

Saya panggil beliau dengan panggilan ‘Ayoh’.  Mereka berdua adalah orang yang banyak memberi sokongan kepada saya sepanjang saya berada di dunia ini daripada saya di lahirkan pada 13 Julai 1997 hingga sekarang 2019.

Haa, pasti kalian boleh kira kan umur saya berapa?? Silalah kira kalau nak tahu..huhuhu… Teringat potongan ayat Quran berkenaan dengan ibu bapa:

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:

" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Surah Luqman 31:13-14)

Awal pendidkan saya bermula di Tadika Sg. Asap B.

Banyak kenangan di sini di mana permulaan saya mengenal dunia berkawan, dunia membaca dan lain-lain.

Pada pendapat saya, pendidikan awal kanak-kanaklah penting untuk membentuk generasi sekarang kerana daripadanya saya mengenal huruf, nombor dan lain-lain.

Terima Kasih Cikgu! seterusnya, saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Kebangsaan Renok Baru (SKRB) daripada darjah 1 hingga darjah 6. Pada tahun 2009, iaitu ketika saya berada di darjah 6, saya menduduki Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR). Alhamdulillah keputusaan UPSR saya baik dan saya terpilih untuk sambung pengajian saya di peringkat menengah di sekolah rancangan khas iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Perdana.

Bermula di sekolah menengah, saya mula belajar berada berjauhan dengan keluarga kerana saya perlu tinggal di asrama. Saya belajar berdikari di mana segala keperluan perlu dibuat sendiri seperti pakaian, makan minum dan juga perbelanjaan harian saya.

Saya akui, daripada pengalaman daripada sekolah dulu lah yang menjadikan siapa saya pada hari ini.

Terima kasih para guru sekalian kerana mereka tidak pernah jemu melayan kerenah pelajar-pelajarnya yang berbeza-beza.

Terima Kasih Cikgu kerana sentiasa bersabar dengan karenah kami semua dan merestui ilmu cikgu selama ini.

2010 ketika saya berada di tingkatan 1


2013 ketika saya berada di tingkatan 4

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda,

Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke Syurga
(Hadith Riwayat Muslim)

Saya meneruskan lagi pengajian saya di peringkat matrikulasi iaitu Matrikulasi Kelantan (KMKT) selama setahun.

Saya mengambil jurusan sains iaitu modul 1 yang merangkumi subjek biologi, fizik dan kimia. Saya tak nafikan, pelajar yang belajar di matrikulasi ini antara pelajar yang boleh dikatakan sibuk kerana setiap hari kelas bermula daripada pukul 8 pagi hinga 5 petang dan dengan aktiviti-aktiviti luar yang lain.

Tetapi, dalam kesibukan itu, saya sangat lah gembira dan seronok kerana adanya sahabat-sahabat yang tidak jemu membantu saya dalam pelajaran dan pensyarah yang sangat memahami saya. Pengalaman di matrikulasi sangatlah seronok dan tidak boleh dilupakan, hanya yang pernah belajar di matrikulasi sahaja yang tahu seronoknya macam mana😊.

Seterusnya, selepas tamat pengajian saya di peringkat matrikulasi, saya menyambung pengajian saya di peringkat ijazah sarjana muda di UiTM Puncak Perdana selama satu sem dan berpindah ke UiTM Rembau untuk sem 2 hingga tamat pengajian.

Saya mengambil jurusan Pengurusan Perpustakaan (Management in Library Science). Pelbagai cabaran dan dugaan yang pernah dilalui sepanjang pengajian. Pengalaman yang pernah saya hadapi itu, bukan untuk melemahkan saya tetapi untuk menguatkan lagi fizikal dan mental saya.

Nasihat saya pada yang kalian semua, ketika berada di kampus jangan boros dan didiklah diri untuk menabung dan berjimat cermat kerana hasilnya bukan sekarang, tetapi ketika kalian berada pada tahun akhir nanti (ini pandangan daripada pengalaman saya lah sebagai pelajar tahun akhir).

Segala pengalaman pahit ketika itu tetap menjadi manis untuk dikenang kerana daripada pengalaman itu mampu meningkatkan kematangan seseorang. Seorang sahabat saya pernah cakap “maturity comes with experience, not age”.

Ketika saya berada di sem 6, saya perlu membuat pilihan di mana tempat untuk saya membuat latihan industri nanti ketika berada di sem 7. Selepas berbincang dengan sahabat-sahabat yang lain, akhirnya saya membuat keputusan untuk memilih Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP). Saya memilih PPAP sebagai tempat latihan industri saya kerana saya tertarik dengan reka bentuk bangunannya, warna bangunannya dan kemudahan yang disediakan di sini. Saya percaya yang saya akan belajar banyak perkara di perpustakaan ini.

Saya melaporkan diri di PPAP pada 1 Ogos 2019 (Khamis).

Saya menjalankan latihan industri bersama kawan-kawan saya yang lain daripada kampus yang sama iaitu Zein Azrai, Nur Ainna Izatie, Radhiah, Masturah, Hidayah dan seorang dari UiTM Puncak Perdana iaitu Qhuiruel Syahidbullah.

Penyelia kami di sini adalah Encik Norshazlin atau nama samarannya (En. Amer). Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada dua orang setiap kumpulan.

Pasangan saya adalah Nur Ainna Izatie (Ainna) yang sangat cantik dan mudah mesra dengan orang. Pada minggu pertama, saya dan Ainna ditempatkan di Bahagian Rangkaian Perpustakaan (BRP) yang diketua oleh En. Ahmad Nizam. Banyak input yang saya dapat seperti cara mengumpulkan maklumat (Big Data) di semua rangkaian  perpustakaan yang ada di Negeri Pahang seperti perpustakaan desa, daerah dan cawangan.

Selain itu, kami juga mengikut En. Ahmad Aziddin bin Haji Ahmad yang merupakan Ketua Perpustakaan Desa di daerah kuantan iaitu di Perpustakaan Desa Kg. Mahkota. Kami telah belajar secara praktikal cara pengurusan perpustakaan di desa tersebut.

Seterusnya, kami juga turut membantu kawan-kawan yang berada di Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan dan Literasi iaitu Zein Azrai dan Radhiah dalam program bersama kanak-kanak daripada Tabika Perpaduan Inderapura dan Tabika Tanah Putih.

Di bahagian ini, kami banyak belajar tentang cara mengendalikan program yang berkaitan dengan kanak-kanak. Seronok sangat sebab kita macam masuk dalam dunia kanak-kanak. walaupun kami berbeza bahagian/ unit, tetapi kami adalah satu pasukan yang akan membantu antara satu sama lain.
Antara aktiviti yang dilakukan adalah pertunjukan ‘puppet show’, menari bersama kanak-kanak dan sesi membaca. Seterusnya, kami mengetuai kumpulan kanak-kanak ini menuju ke tempat Petrosains.

 Akhir kata, terima kasih kepada para staff di sini yang sudi menerima kami (pelajar praktikal) dengan baik.

Terima kasih juga kepada mereka kerana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada kami sebagai orang baru dalam organisasi ini. Sesungguhnya, pengalaman menjalankan latihan industri di perpustakaan awam sangatlah seronok kerana banyak ilmu baru dapat dipelajari secara teori dan praktikal. Banyak lagi pengalaman yang saya akan dapat sepanjang berada di sini selama 5 bulan .

Terima Kasih Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP)😊

No comments: